Saturday, December 8, 2012

Bahasa Melayu Penulisan Bahagian C

Bahasa Melayu Penulisan Bahagian C ini , merupakan bahagian yang meminta murid atau calon UPSR membuat ulasan tentang petikan yang diberi sama ada berbentuk sastera atau bukan sastera. Murid diminta membuat ulasan, sama ada mengulas tentang nilai, pengajaran, amalan baik ataupun perwatakan yang terdapat dalam petikan yang diberi. Bagi sekolah kebangsaan, murid/calon UPSR perlu menulis lima nilai, pengajaran, perwatakan atau amalan baik berdasarkan petikan, manakala untuk sekolah jenis kebangsaan empat sahaja.Ulasan hanyalah dalam satu perenggan. Panjang ulasan yang diarahkan ialah 50 patah perkataan bagi SK, manakala 40 patah perkataan bagi SJK. Walau bagaimanapun, semua murid atau calon UPSR tidak perlu terikat dengan  bilangan patah perkataan yang dihadkan. Apa yang penting ialah ulasan yang tepat dan huraian yang jelas tentang petikan yang diberi.

Berikut ialah contoh soalan untuk Bahagian C:    

Tulis lima  nilai yang dapat kamu peroleh daripada petikan di bawah.



Menemui sahabatku Ramli, semoga sihat sejahtera.

                Walaupun seminggu telah berlalu, namun ingatan saya terhadap suasana damai di kampung saudara tidak dapat dilupakan. Tambahan pula, sikap penduduk kampung yang mudah bergaul membuatkan saya seolah-olah berada di kampung halaman sendiri.

                Saya berasa bertuah kerana dibawa oleh ayah saudara berkunjung ke bandar Melaka. Di sana, saya juga berkesempatan membeli cenderamata untuk dihadiahkan kepada kawan-kawan.

                Selain itu, pengalaman saya menghabiskan masa di dusun sungguh menyeronokkan. Saya tidak akan lupa keseronokkan memetik, mengutip, makan, dan menjual buah-buahan.

                Saya mengucapkan terima kasih kepada saudara sekeluarga atas layanan yang diberikan sepanjang saya berada di Melaka. Semoga saudara dan keluarga sentiasa bahagia dan gembira.

Sekian, terima kasih.                                    

                                                                                                                                                              Sahabatmu,
                                                                                                                                                       Alvin


     Berdasarkan soalan di atas, kehendak soalan meminta kita menuliskan lima nilai yang terdapat dalam petikan. Bagi SJK, kurangkan  satu nilai kepada empat nilai sahaja. Untuk memudahkan kita mencari nilai, kita bolehlah membina pelan maklumat seperti di bawah ini. Pastikan anda bijak memilih frasa yang mempunyai nilai.


   Pelan Maklumat

  Bil
Nilai
Frasa
1
prihatin
semoga sihat sejahtera
2
peramah
sikap penduduk kampung yang mudah bergaul
3
bersyukur
bertuah kerana dibawa oleh ayah saudara berkunjung ke bandar Melaka
4
baik hati
membeli cenderamata
5
menghargai
mengucapkan terima kasih kepada saudara sekeluarga








                                         












Melalui pelan maklumat di atas, kita perlu membina ayat berdasarkan nilai yang dipilih, kemudian kita olah frasa yang  dipetik daripada petikan itu untuk dijadikan huraian seperti contoh di bawah ini.


Nilai-nilai dan huraian.


1.          Prihatin terhadap rakan dan mendoakannya semoga sihat sejahtera.

2.          Peramah dan mudah bergaul dengan orang lain agar mereka selesa datang ke tempat kita 
             seolah-  olah  berada di kampung sendiri.

3          Bersyukur kerana berpeluang mengunjungi bandar Melaka.

4.         Baik hati dengan membelikan cenderamata untuk dihadiahkan kepada kawan-kawan kita.

5.        Menghargai orang lain dengan mengucapkan terima kasih atas layanan baik yang diberikan
            kepada kita semasa kita berkunjung ke rumahnya.



Berikut ialah ulasan lengkap tentang petikan tersebut:


Berdasarkan petikan, terdapat lima nilai murni yang boleh dicontohi. Antaranya kita patutlah prihatin terhadap rakan kita dan mendoakannya semoga sihat sejahtera. Selain itu kita haruslah peramah dan mudah bergaul dengan orang lain agar orang yang datang ke tempat kita selesa dan berasa seolah-olah berada di kampung mereka sendiri. Seterusnya kita sewajarnya bersyukur kerana berpeluang mengunjungi bandar Melaka dan dapat menambah pengalaman melalui kunjungan tersebut. Di samping itu, kita mestilah baik hati dengan membelikan cenderamata untuk dihadiahkan kepada kawan-kawan kita. Akhir sekali kita disarankan agar menghargai orang lain dengan mengucapkan terima kasih atas layanan baik yang diberikan sepanjang kita berkunjung ke rumahnya.

1 comment:

♛ Aina Ayunie ♛ said...

terima kasih cikgu atas penerangan yang diberikan.. dengan contoh yang diberi, pemahaman saya lebih jelas tentang cara-cara penulisan bahagian c :)