Thursday, November 29, 2012

Bahasa Melayu Penulisan Bahagian B

Bahasa Melayu Penulisan
Bahagian B

Untuk Bahasa Melayu Penulisan Bahagian B, murid diminta menulis karangan mengikut format-format tertentu. Antaranya ialah:

  • Surat Kiriman Tidak Rasmi
  • Surat Kiriman Rasmi
  • Biografi
  • Autobiografi
  • Temu Ramah
  • Diari/ Catatan
  • Dialog
  • Melengkapkan Cerita
  • Cerita
  • Keperihalan
  • Laporan
  • Syarahan
  • Berita
  • Ucapan
  • Peribahasa
  • Perbincangan
  • Tindakan 
  • Gambaran
Panjang karangan yang perlu dibuat sekurang-kurangnya 80 patah perkataan bagi Sekolah Kebangsaan, manakala 60  patah perkataan bagi Sekolah Jenis Kebangsaan Cina/Tamil. Berikut adalah contoh-contoh karangan dalam Bahagian B:


Ceritakan tentang kebaikan sahabat-sahabat kamu.

            Setiap orang pasti mempunyai sahabat. Saya juga mempunyai ramai sahabat sama ada di sekolah ataupun di kawasan tempat tinggal saya. Saya suka akan sahabat-sahabat saya ini kerana mereka amat baik dengan saya.

            Antara kebaikan sahabat-sahabat saya ini ialah mereka suka membantu saya dalam pelajaran. Misalnya, jikalau saya menghadapi masalah dalam menyelesaikan soalan Matematik, mereka akan membantu saya mencari penyelesaiannya. Ini secara tidak langsung dapat meningkatkan penguasaan saya dalam mata pelajaran Matematik.

            Selain itu, sahabat saya juga suka mengajak saya bermain bersama-sama mereka. Contohnya saya suka bermain bola sepak bersama-sama mereka di padang permainan berhampiran dengan rumah saya. Ini dapat mengeratkan hubungan persahabatan di samping dapat menyihatkan tubuh badan kami.
            Seterusnya sahabat saya ini juga memberikan bantuan jika saya berada dalam kesusahan. Misalnya, saya pernah kehilangan wang di kantin sekolah. Sahabat saya telah bermurah hati memberikan sedikit wang kepada saya untuk dibuat belanja membeli makanan.

            Akhir sekali, sahabat saya sering meminjamkan buku cerita kepada saya. Contohnya, kami sering bertukar-tukar buku cerita atau komik yang kami beli di kedai buku. Ini secara tidak langsung dapat menanbahkan pengetahuan kami bersama.

            Kesimpulannya, saya bersyukur kerana mempunyai sahabat-sahabat yang baik hati.Bagai isi dengan kuku begitulah perumpamaan yang sesuai untuk menggambarkan hubungan persahabatan saya ini. Harapan saya semoga persahabatan saya ini akan berkekalan.




 LAWATAN SAMBIL BELAJAR KE PENERBITAN MAJALAH

Persatuan Bahasa Malaysia,
Sekolah Kebangsaan Taman Kim Soon,
70400 Seremban,
NEGERI SEMBILAN DARUL KHUSUS.
_______________________________________________________________________________
Tuan Pengarah Urusan,
Kumpulan Karangkraf Sdn. Bhd.,
50-54, Lorong Rahim Kajai 14,
Taman Tun Dr.Ismail,
60000 KUALA LUMPUR.                                                                                     6 OGOS  2011
Tuan,
Lawatan Sambil Belajar Ke Penerbitan Karangkraf
Merujuk perkara di atas, sukacita dimaklumkan bahawa ahli-ahli Persatuan Bahasa Malaysia sekolah kami bercadang untuk ke penerbitan tuan. Lawatan tersebut sebagai satu cara untuk mendedahkan ahli dengan pengalaman penerbitan. Ini selaras dengan hasrat kami untuk menerbitkan buletin persatuan.

2.         Ini merupakan lawatan pertama dari sekolah kami ke penerbitan tuan. Ahli-ahli memang berharap sangat untuk mengetahui cara-cara penerbitan majalah ‘Dewan Pelajar’. Untuk pengetahuan tuan, majalah tersebut kami langgani sebanyak 200 naskah sebulan.

3.         Sehubungan dengan itu , bersama-sama ini disertakan butir-butir lengkap untuk maklumat pihak tuan.
          3.1.   Tarikh  :  Sabtu, 24 OGOS 2001
          3.2.    Waktu  : 9:30 pagi – 11:30 tengahhari
          3.3.   Peserta  : 40 orang murid dan empat orang guru
4.         Bagaimanapun, jika tarikh tersebut tidak sesuai, pihak tuan boleh mengubah tarikh lain. Kami sedia menanti waktu yang sesuai ke tempat tuan. Namun, sama ada kunjungan kami diterima atau tidak, diharapkan berilah jawapan segera untuk memudahkan kami membuat persiapan.
5. Kerjasama dan perhatian tuan memang kami harapkan. Kami yakin pihak tuan tidak akan mengecewakan harapan kami. Sesungguhnya ada jalan untuk kami ke penerbitan tuan.
Sekian, terima kasih.

Yang menjalankan tugas,

Farizah Dakir
(FARIZAH BINTI DAKIR)
Setiausaha,
Persatuan Bahasa Malaysia,
Sekolah Kebangsaan Taman Kim Soon.





Soalan :
Sekolah kamu telah menganjurkan bulan kemerdekaan. Tuliskan berita tentang bulan kemerdekaan tersebut.

RAWANG, Jumaat- Sekolah Kebangsaan Bandar Tasik Puteri telah menganjurkan Bulan Kemerdekaan pada bulan Ogos baru-baru ini. Banyak aktiviti menarik telah diadakan sepanjang bulan tersebut.

            Tujuan Bulan Kemerdekaan ini diadakan adalah untuk menyemai sikap patriotik dalam kalangan murid-murid. Di samping itu, aktiviti ini dapat memberi pendedahan kepada murid-murid tentang sejarah kemerdekaan negara. Murid-murid juga dapat mengenal tokoh-tokoh  pejuang kemerdekaan.

            Pada 15 Ogos, upacara perasmian dan pelancaran telah dilakukan oleh puan Guru Besar. Beliau mengingatkan murid-murid supaya bersyukur dapat tinggal di negara yang aman. Keamanan ini perlu dipertahankan oleh generasi muda.

            Antara aktiviti yang dijalankan ialah pertandingan pidato, pertandingan menulis esei, pertandingan melukis poster dan pameran tentang sejarah kemerdekaan. Pertandingan terbuka untuk murid-murid Tahap 1 dan Tahap 2. Pertandingan Kibar Jalur Gemilang antara kelas juga turut diadakan.

            Pada acara penutup,Guru Besar telah menyampaikan hadiah kepada para pemenang pertandingan. Para pemenang telah menerima hadiah berupa trofi dan hamper. Sebelum bersurai, semua murid diminta melaungkan kalimah ‘Merdeka’ dengan penuh semangat.

            Pihak sekolah berharap semangat sayang akan negara tetap terus berkekalan di jiwa setiap murid di sekolah ini.





Soalan :
Tuliskan syarahan yang bertajuk ‘ Pentingnya Menjaga Kebersihan di Sekolah’

            Yang dihormati Tuan Pengerusi Majlis, Yang Berusaha Tuan Guru Besar, para hakim yang adil lagi bijaksana, guru-guru dan rakan sekalian. Selamat sejahtera saya ucapkan. Pada pagi ini saya ingin 
menyampaikan syarahan yang bertajuk “Pentingnya Menjaga Kebersihan Sekolah”.

Hadirin yang dihormati,          
Kebersihan penting dalam hidup seseorang insan. Hidup yang bersih menerajui hidup yang sihat. Selain kebersihan diri, pakaian dan tempat tinggal, kebersihan sekolah juga perlu dititikberatkan.

            Sekolah ialah tempat untuk menimba ilmu pengetahuan dan membentuk sahsiah murid. Persekitaran yang bersih memudahkan penerimaan pelajaran yang diajar. Kesannya, suasana kelas yang kondusif merangsang murid untuk mengikuti pembelajaran.

Hadirin yang dikasihi,                                                                                                                                 Sekolah yang bersih menimbulkan suasana yang ceria dan selesa. Suasana ini merangsang murid untuk berfikiran positif dan mempunyai minda yang tenang. Oleh itu, murid-murid dapat menjauhkan diri daripada gejala negatif.
           
          Selain itu, sekolah yang bersih dapat meningkatkan imej sekolah di mata masyarakat. Hal ini kerana masyarakat menilai sekolah bukan sahaja dari segi kelakuan dan pencapaian murid, tetapi juga persekitaran sekolah yang bersih. Dengan itu ibu bapa dan anggota masyarakat akan berasa seronok untuk berkunjung ke sekolah yang sentiasa bersih.
            
         Akhir sekali, menjaga kebersihan sekolah itu penting adalah untuk memupuk rasa kecintaan murid terhadap sekolah. Contohnya, murid-murid sentiasa bekerjasama menjaga kebersihan kelas dan persekitaran sekolah dan tidak membuang sampah merata-rata. Hal ini akan membentuk murid-murid yang sayang akan sekolahnya.

Hadirin yang dimuliakan,
            Jelaslah kebersihan sekolah patut dijaga. Oleh itu sama-samalah kita menjaga kebersihan sekolah demi kebaikan bersama.

Sekian, terima kasih.






Soalan.
Kamu menyertai perkhemahan pada cuti sekolah yang lalu. Tulis catatan tentang aktiviti perkhemahan tersebut.


Jawapan Contoh:

Sabtu, 12 Mac 2011

7.00 pagi
Aku bangun awal pagi. Aku bersiap-siap untuk menyertai perkhemahan yang dianjurkan oleh Persatuan Pengakap. Ayah menghantar aku ke sekolah.

7.30 pagi
Kami berkumpul di sekolah. Cikgu Rashid meneliti senarai nama para peserta. Setelah itu kami pun bertolak ke Hutan Reakreasi Ulu Yam. Kami ke sana dengan bas. Pemandangan sepanjang jalan ke sana memang indah. Keadaan jalan agak bengkang-bengkok.
10.30 pagi
Kami tiba di tempat perkhemahan itu. Kami segera mencari tapak yang sesuai untuk mendirikan khemah. Kami bersama-sama mendirikan khemah. Cikgu Rashid membahagi-bahagikan tugas. Aku dan Fuad diminta mengambil air. Beberapa orang  membantu Cikgu Rashid untuk menyediakan makanan. Selepas makan, kami rehat seketika.

2.30 petang
Kami mengadakan sukaneka, pertandingan membuat ikatan, dan mencari harta karun. Aku telah memenangi acara membuat ikatan. Kemudian, kami berehat sambil minum petang. Aku dan beberapa orang rakan bermandi-manda di air terjun yang terdapat di situ. Airnya memang sejuk. Tiba-tiba Suresh menjerit. Kami segera mendapatkannya. Rupa-rupanya seekor pacat di kakinya. Borhan segera membuang pacat itu. Kami ketawa apabila melihat wajah Suresh.

8.30 malam
Selepas makan malam, kami membuat unggun api dan duduk mengelilinginya. Kami bernyanyi sambil bertepuk tangan. Ada pelbagai persembahan turut diadakan. Antaranya tarian, nyanyian, lakonan dan sebagainya. Sebelum masuk tidur, kami berbual-bual seketika. Suasana alam itu sungguh nyaman. Kedengaran deruan air terjun.

Ahad, 13 Mac 2011

7.40 pagi
Kami bangun awal pagi. Kami membuat senam robik. Setelah itu, kami masak nasi goreng untuk sarapan. Cikgu Rashid membenarkan kami mandi-manda di air terjun. Kemudian, kami mengemaskan barang untuk pulang. Kami membersihkan kawasan perkhemahan itu. Aku berasa gembira kerana berpeluang menyertai perkhemahan seperti ini.





Soalan:

Baru-baru ini rakan kamu telah terpilih sebagai Tokoh Nilam. Kamu telah menemu ramahnya untuk mengetahui tentang faedah-faedah membaca buku. Tulis temu ramah kamu itu selengkapnya.

Jawapan Contoh

Anita        : Apa khabar Zambri? Tahniah kerana tepilih sebagai Tokoh Nilam.
Zambri     : Khabar baik. Terima Kasih atas penghargaan kamu itu.
Anita        : Kamu memang rajin membaca. Saya ingin mengetahui apakah kelebihannya apabila
                  kita banyak membaca buku cerita?
Zambri     : Sebenarnya Anita, dengan membaca kita dapat menambahkan ilmu pengetahuan. 
                  Sebagai contoh, apabila saya membaca buku-buku sejarah negara kita. Kesannya, saya
                  lebih menghormati dan menyanjung tinggi pengorbanan para pemimpin negara yang  
                  telah banyak berjasa.
Anita        : Bagaimana dengan kemahiran kita berbahasa kamu?
Zambri     : Membaca dapat meningkatkan penguasaan saya dalam berbahasa. Sebagai contoh, 
                 sekiranya saya menemui kosa kata yang tidak saya fahami, saya akan terus merujuki  
                 kamus. Penguasaan bahasa saya bertambah baik dan saya mampu mengarang dalam
                 Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris.
Anita       : Adakah tabiat itu tidak membuang masa?
Zambri    : Sebenarnya dengan membaca, kita telah mengguna masa terluang kita dengan baik. 
                 Hal ini dapat mengelakkan kita daripada bergaul dengan budak-budak nakal. Dengan
                 demikian tidaklah kita terjebak ke dalam kancah gejala sosial.
Anita      : Bagaimanakah perasaan kamu setelah selesai membaca sesuatu buku?
Zambri   : Membaca buku ibarat hiburan kepada saya. Setelah selesai membaca sesuatu buku,  
               saya akan berasa seronok dan puas. Fikiran saya akan menjadi tenang dan selepas itu  mudahlah
               untuk saya mengulang kaji pelajaran.
Anita     : Terima kasih kerana sudi ditemu ramah. Tahniah sekali lagi saya ucapkan.
Zambri  : Terima kasih. Mari saya tunjukkan koleksi buku saya.




Pengalaman menghadiri majlis perkahwinan .

            Pada cuti persekolahan yang lalu, saya sekeluarga telah menghadiri suatu majlis perkahwinan saudara saya yang diadakan di kampung ayah saya di Jelapang. Kami pergi ke sana dengan menaiki kereta yang dipandu oleh ayah.

            Perjalanan dari Kuala Lumpur ke Jelapang mengambil masa kira-kira tiga jam. Ayah menggunakan Lebuh Raya PLUS kerana ingin cepat sampai. Pemandangan semasa perjalanan ke sana sungguh menarik serta mengasyikkan.

            Kami tiba di rumah saudara kami kira-kira pada pukul 10.00 pagi. Ketibaan kami disambut oleh datuk dan nenek. Suasa di sana riuh-rendah dan keadaan menjadi sibuk dengan kehadiran saudara mara yang turut sama membantu. Saya dan ayah turut sama membantu menyusun kerusi dan meja untuk tetamu, manakala kakak dan ibu pula membantu menghias pelamin.

            Pada pukul 11.30 pagi, segala persiapan telah selesai. Banyak jemputan, saudara mara dan sahabat handai yang hadir untuk memeriahkan majlis perkahwinan tersebut. Saya dan jiran tetangga yang lain membantu mengangkat hidangan dan melayan tetamu yang hadir.

            Tepat pada pukul 2.00 petang, kehadiran pengantin lelaki telah disambut dengan paluan kompang. Selepas itu, kedua-dua mempelai bersanding di atas pelamin. Mereka kelihatan sama cantik seperti pinang dibelah dua. Banyak hadiah yang diterima oleh pengantin tersebut.

            Pada pukul 5.00 petang, majlis perkahwinan tersebut telah selesai. Pada keesokan harinya, kami sekeluarga pulang semula ke Kuala Lumpur. Saya berasa amat gembira dan pengalaman ini tidak dapat saya lupakan.



Kebaikan dan Keburukan Menggunakan  Internet

            Internet merupakan sistem komunikasi yang direka cipta untuk menyampaikan maklumat dari serata dunia. Sistem ini boleh dicapai melalui komputer dan televisyen. Dengan kecanggihan teknologi masa kini, internet boleh juga dilayari melalui telefon bimbit.

            Melalui internet, kita akan dapat mengetahui sesuatu maklumat dari serata dunia dengan lebih cepat terutamanya tentang perkara-perkara yang berkaitan dengan hal ehwal semasa. Oleh itu, minda kita akan lebih terbuka dan sentiasa terkini dengan berita-berita dari seluruh pelosok dunia.

            Kita juga boleh menambahkan pengetahuan dengan menjadikan internet sebagai tempat untuk mencari maklumat yang ingin kita ketahui. Contohnya kita dapat mengetahui perkembangan dalam bidang sains dan teknologi melalui laman sesawang tertentu. Ini boleh menjadi satu sumber rujukan dan membantu proses pembelajaran di dalam kelas.

            Namun begitu, keburukan internet tidak dapat disangkal terutama tentang budaya kuning. Bagi mereka yang mudah terpengaruh, mereka akan meniru bulat-bulat perkara negatif yang dipaparkan. Hal demikian akan menyebabkan perkara-perkara negatif meresap masuk dalam budaya masyarakat kita hari ini.
            Bagi sesetengah golongan murid pula, internet akan menyebabkan mereka membuang masa dengan sia-sia . Kerana terlalu asyik dengan internet, mereka malas untuk mengulang kaji pelajaran. Akibatnya, pelajaran mereka merosot dan keputusan peperiksaan mereka terjejas.

            Sistem komunikasi internet ini sememangnya ada kebaikan dan keburukannya. Teknologi ini perlu dipelajari dan digunakan dengan sebaik-baiknya. Oleh itu, kita perlu pandai memilih dan menilai untuk mendapat manfaat daripadanya.


           

Suasana pada malam itu agak dingin kerana hujan turun renyai-renyai. Jam pada dinding menunjukkan pukul 10.00 malam. Ibu dan ayahku masih belum pulang. Tiba-tiba…

            Tiba-tiba aku terdengar satu bunyi dentuman yang kuat dari luar rumahku. Aku meluru ke tingkap.  Aku mengintai keluar, namun objek yang aku lihat tidak jelas kerana suasana agak kelam. Aku mengambil keputusan untuk keluar menyiasat. Aku mencapai payung yang terletak di tepi pintu.

            Setelah aku menghampiri tempat tersebut, barulah aku dapat melihat rupa-rupanya satu kemalangan telah berlaku. Kemalangan tersebut melibatkan sebuah kereta dengan sebuah motosikal. Kedua-dua kenderaan tersebut datang dari arah yang bertentangan.

            Aku agak terkejut apabila ternampak penunggang motosikal tu terperosok di bawah kereta. Pemandu kereta itu pula kelihatan cedera parah dan pengsan di tempat duduknya. Aku segera masuk semula ke dalam rumah lalu menghubungi talian kecemasan bagi mendapatkan bantuan ambulans dan polis.

            Setelah itu, aku keluar dan memanggil jiran-jiran untuk memaklumkan kejadian tersebut. Ada juga yang sudah menjengah-jengah di muka pintu kerana mereka turut mendengar bunyi dentuman tadi. Mereka segera datang memberi bantuan. Kami cuba mengeluarkan pemandu dan penunggang yang cedera itu dengan berhati-hati.

            Sejurus kami dapat mengeluarkan penunggang motosikal itu dari bawah kereta, ambulans pun tiba. Rawatan lanjut diberikan kepadanya. Kedua-dua mereka segera dikejarkan ke hospital.

            Tidak lama kemudian ibu bapaku pulang. Aku menceritakan apa yang telah berlaku kepada mereka. Aku bersyukur kerana dapat menghulurkan bantuan kepada mangsa kemalangan itu. Kejadian itu memberi peringatan kepadaku agar lebih berhati-hati ketika di jalan raya.






Akhiri karangan anda dengan….kejadian itu tetap dalam ingatanku hingga ke hari ini.

            Aku mengimbas kembali kejadian yang berlaku beberapa tahun lalu. Ketika itu aku dan rakan-rakanku gemar berbasikal bersama-sama. Kami juga suka menunggang basikal dengan laju sambil bersaing-saing.

            Petang itu seperti biasa kami berbasikal ketika pulang dari latihan sukan di sekolah. Azmi telah mengajak kami berlumba hingga ke hujung simpang. Tanpa berlengah, kamipun menyahut cabarannya.

            Sedang asyik berlumba, malang tidak berbau. Azmi tidak dapat mengawal basikalnya lalu terhumban ke dalam sebuah longkang besar. Badannya berlumuran dengan darah. Basikalnya remuk kerana terlanggar tembok longkang.

            Kami berasa amat cemas dan panik melihat kejadian yang berlaku dalam sekelip mata itu. Namun apabila melihat Azmi meraung kesakitan, kami segera menghulurkan bantuan. Kami memapahkan Azmi keluar dari longkang lalu membaringkannya di atas rumput.

            Aku segera mengeluarkan sapu tangan lalu mengelap darah pada bahagian kepala dan kaki Azmi. Azmi berkerut menahan kesakitan, sementara itu nasib kami baik apabila ada seorang pemuda memberhentikan kereta lalu memberikan pertolongan. Azmi segera dikejarkan ke hospital.

            Akibat kecederaan yang agak parah, Azmi telah diberikan sepuluh jahitan pada lukanya. Kakinya pula berbalut dengan simen kerana tulangnya patah. Kami benar-benar insaf melihat tragedi yang menimpa Azmi. Wlaupun telah lama berlalu, namun demikian kejadian itu tetap dalam ingatanku hingga ke hari ini.




Kepentingan Perpustakaan

            Setiap sekolah pasti dilengkapi dengan perpustakaan. Di perpustakaan terdapat pelbagai jenis bahan bacaan, antaranya buku cerita, novel, majalah dan akhbar. Buku-buku cerita yang terdapat di perpustakaan boleh dipinjam dengan menggunakan kad pinjaman.

            Antara kepentingan perpustakaan adalah dapat memupuk amalan membaca serta mampu meningkatkan pengetahuan seseorang. Sebagai contoh jika kita membaca buku tentang sejarah tokoh negara, kita akan menambahkan pengetahuan tentang sejarah negarawan. Pengetahuan yang ditimba itu dapat menyemai semangat patriotik terhadap negara.

            Jika kita sering mengunjungi perpustakaan, kita dapat memanfaatkan masa lapang. Hal yang demikian menjadikan kita tidak membazirkan masa yang terluang. Kita juga tidak terjebak dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah seperti bergaul dengan budak-budak nakal.

            Membaca buku-buku yang terdapat di perpustakaan dapat memberi hiburan kepada kita. Contohnya kita akan terhibur dengan cerita-cerita lucu yang dibaca atau mendapat pengajaran dan iktibar daripada cerita tersebut. Hati kita akan menjadi tenang dan gembira dengan bacaan tersebut.

            Melalui buku-buku yang dipinjam dan dibaca dari perpustakaan juga akan dapat meningkatkan penguasaan bahasa seseorang murid. Contohnya kita dapat mempelajari kosa kata baru yang boleh digunakan semula dalam penulisan karangan. Jika kita tidak tahu makna sesuatu perkataan pula, boleh dirujuk di dalam kamus. Secara tidak langsung kita dapat menambahkan perbendaharaan kata yang baik dan berguna untuk kita.

            Sesungguhnya, perpustakaan merupakan gedung ilmu yang perlu dikunjungi oleh setiap murid. Kemudahan yang ada di perpustakaan jangan dipersia-siakan. Sama-samalah kita menjaga buku-buku yang ada di dalam perpustakaan kerana buku-buku itu akan digunakan oleh orang lain pula.




Pengalaman Menyertai Kem Motivasi UPSR

            Pada minggu yang lepas, sekolah saya telah mengadakan Kem Motivasi UPSR. Kem motivasi sehari ini telah diadakan bertempat di dewan sekolah saya. Saya dan rakan-rakan turut tidak ketinggalan menyertai program yang amat bermanfaat kepada murid-murid tahun enam ini. 
      
            Pagi itu, saya dan rakan-rakan telah mendaftarkan diri dengan guru kelas masing-masing. Kami telah mendapat fail yang berisi bahan-bahan pembelajaran. Kemudian kami telah diarahkan beratur untuk masuk ke dalam dewan.

            Setelah masuk ke dalam dewan, Cikgu Azlina selaku penyelaras kem motivasi telah memberikan taklimat. Kami telah diberitahu tentang atur cara dan peraturan kem motivasi ini. Kemudian Guru Besar telah dijemput untuk menyampaikan ucapan dan merasmikan kem motivasi ini.

            Seterusnya bermulalah ceramah teknik menjawab soalan UPSR. Ceramah yang diadakan selama dua jam bagi setiap mata pelajaran meliputi subjek Bahasa Malaysia, Matematik, Sains dan Bahasa Inggeris. Penceramah yang dijemput merupakan guru-guru pakar dan berpengalaman dalam bidang masing-masing.

            Saya dan rakan-rakan berasa sungguh berkeyakinan dan teruja setelah mendengar ceramah motivasi tersebut. Banyak pengetahuan dan ilmu yang bermanfaat dapat ditimba melalui penceramah-penceramah. Ini menjadikan saya lebih bersemangat untuk menghadapi peperiksaan UPSR.

            Setelah seharian berada di dalam dewan untuk mendengar ceramah, kami pun dibenarkan pulang kira-kira pada pukul 6.30 petang. Walaupun agak kepenatan namun saya dan rakan-rakan menyimpan azam untuk belajar bersungguh-sungguh bagi mendapat 5A dalam peperiksaan UPSR kelak.





Tuliskan suatu cerita berdasarkan peribahasa “ Air Dicencang Tidak Akan Putus”

            Abang Farid dengan Kak Mazni perang dingin. Beberapa bulan mereka tidak bertegur sapa. Puncanya ialah kebun getah yang ditinggalkan oleh ayah. Sebelum ayah meninggal dunia, ayah telah mewasiatkan kebun getah itu kepada aku, Abang Farid dan Kak Mazni. Arwah ayah berharap agar kami mengusahakan kebun itu bersama-sama. Aku tahu bahawa niat arwah ayah baik. Beliau mahu kami adik-beradik bersatu hati. Namun begitu, niat arwah ayah tidak tercapai gara-gara sikap Abang Farid dan Kak Mazni.
            Kak Mazni mahu menjual kebun getah itu. Alasannya tiada sesiapa ingin mengusahakannya. Lagipun, tidak ada sesiapa antara kami tinggal di kampung. Masing-masing  ada kerjaya sendiri.
            Abang Farid tetap tidak bersetuju akan cadangan kakak Mazni. Lagipun, arwah ayah sudah berpesan agar jangan sekali-kali menjual tanah itu. Kak Mazni menyatakan bahawa ada ejen  hartanah yang sanggup membeli tanah itu dengan harga yang tinggi. Kak Mazni menuduh abang Farid ingin membolot harta itu. Akibatnya, abang Farid dengan Kak Mazni bermasam muka.
            Hari ini Abang Farid mengadakan kenduri arwah di rumah pusaka kami. Banyak saudara- mara dan jiran yang hadir ke majlis itu. Aku memberitahu Kak Mazni tentang kenduri itu. Aku mengajaknya pulang ke kampung. Aku tertunggu-tunggu kedatangan Kak Mazni tetapi hingga majlis itu selesai, Kak Mazni tidak juga muncul.
            Ketika aku dan Abang Farid mengemas di halaman rumah, sebuah kereta masuk. Sebaik sahaja kereta itu berhenti, Kak Mazni terus keluar dari kereta itu. Dia terus menerpa ke arah aku dan Abang Farid. Dia terus bersalam dengan Abang Farid. Dia memohon maaf atas sikapnya. Air mata kegembiraan berlinang di kelopak mataku. Inilah saat-saat yang aku nanti-nantikan. Aku ingin melihat adik-beradikku berbaik semula seperti dahulu. Begitulah kata orang, “air dicencang tidak akan putus”.

                                                                                                                        


Ucapan Sempena Hari Guru.

            Yang dihormati Tuan Pengerusi Majlis, Yang Berusaha Tuan Guru Besar, guru-guru yang dikasihi, dan rakan-rakan yang budiman. Selamat pagi dan selamat sejahtera saya ucapkan. Saya mewakili murid-murid sekolah ini untuk mengucapkan Selamat Hari Guru kepada guru-guru yang kami kasihi.
Hadirin yang saya hormati,

            Hari guru disambut bagi mengenang jasa-jasa dan pengorbanan guru, Sesungguhnya, jasa dan pengorbanan para guru terhadap kami amat bernilai dan rasanya tidak terbalas dengan wang ringgit. Tanpa guru kami umpama orang buta yang kehilangan tongkat. Guru umpama lilin, membakar dirinya semata-mata untuk kesejahteraan orang lain.

            Tugas sebagai guru memang mencabar dan memerlukan kesabaran. Guru memberikan bimbingan dan pendidikan kepada kami. Tiada lain harapan mereka selain ingin melihat kami berjaya demi masa depan. Guru bukan sahaja mengajar malah terpaksa menghadapi pelbagai karenah kami.

            Selain itu, guru turut berusaha untuk membantu serta memberi galakan kepada kami untuk berusaha demi kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran. Segala tunjuka ajar dan nasihat gurun amat kami hargai. Guru berbuat demikian demi kebaikan kami juga.

Hadirin yang dikasihi,
            Pada hari yang bersejarah ini, saya serta rakan-rakan yang lain ingin mengucapkan terima kasih kepada guru-guru yang telah mendidik kami. Sebagai tanda ingatan kami terhadap jasa dan pengorbanan guru, saya serta murid-murid yang lain ingin menyampaikan cenderamata kepada Tuan guru Besar. Akhir kata, sekali lagi saya ucapkan selamat hari guru. Semoga guru-guru yang kami kasihi dilimpahi kesejahteraan dan terus mendidik kami tanpa berasa jemu.

            Sekian, terima kasih.            




4 comments:

Unknown said...

Tahniah,blog yang menarik dan banyak info-info penulisan yang dapat dikongsi bersama.Tq.

Faizah Hamid said...

Wow, cantiknya! Terima kasih atas info yang disiarkan.

Unknown said...

blog anda sangat bermanfaat buat saya dan yang lain2 ..

Sha said...

Terima kasih berkongsi contoh-contoh karangan.